DARO: Jambatan Muara Lassa akan dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang ramai pada awal tahun depan.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo, ini akan menandakan berakhirnya perkhidmatan feri di kawasan tersebut.
“Projek pembinaan jambatan itu menunjukkan kemajuan yang sangat baik dengan perkembangan kini sekitar 96 peratus,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peletakan Bongkah Terakhir Jambatan Muara Lassa, Daro, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu turut memuji kaedah pembinaan ‘river pier’ yang digunakan untuk membina jambatan tersebut bagi membolehkan pembinaannya berjalan lancar.
Beliau memberitahu, kaedah tersebut turut digunakan untuk membina sebanyak 16 jambatan besar termasuk di jalan pesisir dan jalan utama kedua di Sarawak.
“Kesemua jambatan dari Limbang hingga Kuching yang dilaksanakan berjalan lancar dan dijangka siap pada akhir tahun hadapan atau awal 2026,
“Dengan menggunakan teknik dan kaedah tersebut, pembinaan berjalan lancar dan tidak berlaku kelewatan dengan ketara,” kata beliau.