KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak meluluskan sebanyak 1,000 lesen memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) ‘MyLesen’ setakat ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program perintis selama enam bulan ini disasarkan khas kepada pelajar 16 tahun ke atas yang menggunakan motosikal ke sekolah tanpa berlesen.
“Dengan adanya program ini, masalah seperti pelajar yang bermotosikal tanpa lesen, masalah ‘mat rempit’ dan tidak fasih dengan undang-undang jalan raya dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program BLM MyLesen Kelas B2 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan kursus di bawah program itu dapat membantu mengurangkan gejala mat rempit dalam kalangan pelajar setelah mengetahui kepentingan keselamatan jalan raya.
Sementara itu kata Lee, program ini juga bagi membolehkan orang awam, khususnya golongan B40 mendapatkan lesen memandu Kelas B2 (motosikal bawah 250cc) pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran.
