SERIAN: Penawaran surat kepada calon guru pengambilan khas dijangka diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, bagaimanapun kekosongan jawatan guru sekolah di negeri ini menerusi pengambilan khas masih belum dapat ditentukan tahun depan kerana surat tawaran belum dikeluarkan.
“Kami juga bersedia melakukan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya terdapat ramai calon terpilih menolak selepas tawaran diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Pesta Danu Serian 2024 di Tasik Danu di sini, malam tadi.
Tambah Roland, jika terdapat kekosongan jawatan itu kelak, pihaknya akan berunding sekali lagi dengan SPP dan KPM untuk mengadakan semula satu lagi pengambilan khas.
“Bagaimanapun, pengambilan khas itu nanti mungkin tidak akan sama seperti pengambilan khas seperti tahun ini menerusi jumlah bilangan penawaran,” katanya.
Untuk rekod pengambilan khas guru menerusi pengambilan khas untuk Sarawak oleh SPP menarik minat lebih 15,000 pemohon seluruh Malaysia.
Daripada jumpah itu, seramai 2,010 disenarai pendek untuk temu duga akhir.
