PETRONAS diharap tingkatkan sosioekonomi Sarawak

KAPIT: Syarikat minyak PETRONAS diharap memberi komitmen berterusan untuk meningkatkan landskap sosioekonomi Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, syarikat itu juga diharap menjadi entiti korporat bertanggunjawab dalam komitmen tersebut.

“Harapan saya agar PETRONAS terus menjadi entiti korporat yang bertanggunjawab, memberi komitmen berterusan untuk meningkatkan landskap sosioekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Discover PETRONAS @School dan Majlis Simbolik Penyerahan Peralatan Perubatan Asas kepada Klinik Kesihatan Kapit di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, di sini, hari ini.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, Program Discover PETRONAS @School untuk mempromosikan aktiviti berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta menyemarakkan minat mereka menceburi pekerjaan industri minyak, gas dan tenaga.

“Saya difahamkan lebih 30,000 pelajar sekolah menengah atas di seluruh Malaysia mendapat manfaat sejak program ini diperkenal 2013,” katanya.

Beliau berkata, PETRONAS juga membuat penyerahan peralatan perubatan asas kepada Klinik Kesihatan Kapit dan kepada 26 Klinik Kesihatan Desa seluruh Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta hasil kolaborasi bersama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).

“Klinik Kesihatan Kapit menerima barangan perubatan dan bukan perubatan bernilai lebih dari RM50,000 untuk menyokong keperluan dan operasi harian klinik,” tambahnya.

Antara peralatan perubatan dan bukan perubatan yang disumbangkan adalah Syringe Pump, Vital Sign Monitor, Standard Wheelchair, Banquet Chair.