KUCHING: Peralihan kepada tenaga bersih menjadi kunci kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi masa depan Sarawak, menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Untuk menyokong usaha tersebut, Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak akan menggubal Dasar Peralihan Tenaga dan Peta Jalan untuk Sarawak. Katanya, pelan hala tuju itu akan menjadi titik rujukan yang dijangka pada penghujung tahun ini.
“Ini untuk membuka jalan ke arah masa depan tenaga yang selamat, saksama dan mampan.
“Saya menegaskan bahawa kunci untuk ekonomi hijau dan menambah nilai kepada inisiatif hijau Sarawak adalah melalui penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Dalam hal ini, beliau bangga kerana Pusat Biodiversiti Sarawak dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad, Chitose Laboratory of Japan dan ENEOS Corp telah menubuhkan kemudahan demonstrasi pengeluaran biojisim mikroalga besar-besaran.
Kawasan seluas kira-kira lima hektar di Sejingkat, membuka potensi pembangunan produk yang luas dalam industri makanan dan farmasi, katanya.
Menurutnya, Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan memanfaatkan sumber asli yang banyak dan tenaga boleh diperbaharui sebagai bukti komitmen negeri ini dalam mempromosikan ekonomi hijau.
Katanya, penggunaan tenaga hidro boleh diperbaharui untuk pengeluaran hidrogen hijau melalui elektrolisis telah menjadikan Sarawak peneraju serantau dalam peralihan tenaga hijau hingga menjadi contoh kepada negeri dan negara lain.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kehormat yang lain.
