Sarawak dijangka tarik pelaburan RM200 bilion

KUCHING: Projek Hab Karbon Rendah Kuching yang dibangun di pelabuhan laut dalam Tanjung Embang di sini dijangka menarik pelaburan bernilai RM200 bilion sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan menggunakan inovasi teknologi, pertumbuhan industri dan menerajui peralihan tenaga, Hab Karbon Rendah Kuching akan meletakkan Sarawak sebagai peneraju ekonomi tenaga karbon rendah.

“Inisiatif itu akan menjadi pembawa perubahan bagi Sarawak, Malaysia dan ke wilayah yang lebih luas,” katanya merasmikan sidang puncak Halatuju Gas Sarawak dan Hab Karbon Rendah Kuching di sini.

Beliau berkata, pelancaran Hala tuju Gas Sarawak dan Hab Karbon Rendah Kuching itu akan dijadikan laluan kepada peralihan tenaga di Sarawak.

Dengan mempercepatkan pembangunan hala tuju gas Sarawak, katanya, ia akan memperluaskan penjanaan tenaga berasaskan gas yang menjamin bekalan tenaga rendah karbon.

Selain itu, beliau berkata, ia juga mewujudkan kluster industri rendah karbon untuk kelestarian industri, meningkatkan kesalinghubungan wilayah untuk meletakkan Kuching sebagai pintu masuk ke Borneo.

Inisiatif yang dilancarkan ini, tambahnya, akan membantu membangunkan infrastruktur Perangkap dan Penyimpanan Karbon bertaraf dunia dan membuka potensi pembangunan gas luar pantai di barat Sarawak.

Dengan pelancaran Haja tuju Gas Sarawak dan Hab Karbon Rendah Kuching itu, katanya, Sarawak berada di landasan untuk mencapai visi kelestarian dan keselamatan tenaga pada masa depan.

“Kita bukan hanya menangani keperluan tenaga tetapi juga meletakkan batu asas untuk jangka panjang, pertumbuhan mampan yang turut memberi manfaat kepada masyarakat negara jiran,” tegas beliau.

Hab karbon itu merupakan landasan penting yang akan menggerakkan peralihan Sarawak kepada ekonomi rendah karbon, katanya.

Menurut Abang Johari lagi, hab karbon tersebut dan projek lain di bawah Hala tuju Gas Sarawak merupakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memain peranan penting dalam agenda pembangunan Malaysia selari dengan matlamat kelestarian pembangunan nasional dan serantau.

Pada majlis itu, Premier Sarawak turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dengan Sumitomo Corp. Asia & Oceania, Mitsubishi dan Woodside Energy.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie.