KUCHING: Gerak kerja Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan berubah dan lebih agresif pada tahun hadapan sebagai usaha meningkatkan mutu penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Ia ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol sambil menambah beberapa penstrukturan semula dalam organisasi UKAS akan dilakukan.
Menurutnya, pendekatan ini termasuk penambahan bahagian baharu yang dijangka dapat memperkukuhkan peranan UKAS dalam menyampaikan maklumat dengan lebih efisien dan tepat.
“Penstrukturan semula ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja UKAS selaras dengan misi untuk memastikan informasi kerajaan dapat disampaikan secara efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi UKAS 2024 di Kuching malam tadi.
Katanya, strategi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa UKAS sebagai platform utama komunikasi dua hala antara kerajaan negeri dan rakyat.
Melalui pendekatan ini katanya, jurang pemahaman antara Kerajaan Sarawak dan rakyat dapat dikurangkan.
“Gerak kerja kita untuk tahun 2025 tidak akan sama seperti biasa. Ia akan lebih rancak dan agresif dalam pelbagai aspek.
“Saya mengarahkan agar beberapa bahagian UKAS distruktur semula bagi memastikan prestasi kerja yang lebih cekap dan pantas,” tambah beliau.
Majlis tersebut turut meraikan pencapaian UKAS sepanjang 2024 termasuk kejayaan dalam menguruskan bajet sebanyak 96 peratus, penghasilan 1,259 infografik dan melaksanakan 32 sesi penstriman langsung.
Pada malam penghargaan itu juga, seramai 14 warga UKAS telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) atas prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2023.
Majlis itu juga menghargai jasa pesara yang telah menyumbang kepada kejayaan organisasi.
Turut disampaikan hadiah kepada pemenang artikel dan gambar terbaik semasa SUKMA XXI Sarawak 2024.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS Samuel Simon, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Helmy Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) Samat Junai. – UKASi
