Sarawak muktamadkan pengambilan MASwings bulan depan – Premier

KUCHING: Sarawak akan memuktamadkan pengambilan syarikat penerbangan MASwings pada bulan depan, menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, pengambilalihan anak syarikat Malaysian Aviation Group (MAG) itu penting bagi mempromosikan Sarawak kepada komuniti perniagaan dan pelancong luar.

“Dengan memiliki lapangan terbang yang dibangunkan dengan baik, keseluruhan ekosistem Sarawak akan dapat dilaksanakan, membolehkan kita berdaya saing dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata Sarawak memerlukan keparakan jurutera bagi membantu membangunkan tiga projek utama yang dirancang bermula tahun hadapan hingga 2030.

Katanya, suntikan RM100 bilion yang diumumkan beliau sebelum ini merangkumi tiga projek strategik iaitu, pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu dan pembangunan infrastruktur elektrik, air dan telekomunikasi.

“Banyak kerja-kerja kejuruteraan diperlukan, seperti jurutera hidraulik yang benar-benar mahir dalam bidang ini terutamanya dalam sistem air.

“Ini semua projek besar memandangkan ia melibatkan terminal gas dan menyentuh mengenai gas, melibatkan sistem perpaipan dan di sini, kita memerlukan kepakaran jurutera dalam bidang itu untuk pengagihan gas,” ujar beliau.

Tambah Abang Johari, kepakaran kejuruteraan dalam bidang pembuatan komponen kapal terbang turut diperlukan memandangkan Sarawak mempunyai hala tuju untuk mengeluarkan komponen ini pada masa hadapan.

Selain itu ujarnya, kepakaran dalam bidang aeroangkasa juga akan diberikan fokus memandangkan Kerajaan Persekutuan sudah mengenalpasti kedudukan Sarawak sebagai platform untuk melancarkan satelit ke angkasa lepas.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali serta tetamu kenamaan yang lain. – UKAS