KUCHING: Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjaga kesihatan dan alam sekitar.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini melalui aktiviti karnival seperti pertandingan fesyen kitar semula dan pemeriksaan kesihatan termasuk tekanan darah dan tahap gula dalam darah.
”Kesihatan seharusnya menjadi aspek yang perlu diberi perhatian kerana jika tubuh badan sihat, kita akan berasa cergas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar DBKU 2024. Hadir sama, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman di Eco Mall Petra Jaya, di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata, melalui karnival itu semua pihak bekerjasama menjayakan program penjagaan alam sekitar bandar raya seperti mengurangkan penggunaan plastik dan beralih kepada pembungkusan kitar semula serta mengasingkan sisa atau sampah di rumah.
