1,190 koperasi catat perolehan RM368 juta

KUCHING: Urusniaga 1,190 koperasi di negeri ini mencatatkan perolehan berjumlah RM368,97 juta sehingga Disember 2023, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, koperasi terbabit dianggotai oleh lebih 313,917 ahli.

Ini menunjukkan satu pencapaian yang amat menggalakkan dan koperasi juga mampu menyumbang dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat, katanya ketika merasmikan Seminar Cabaran Ekonomi: Peluang Kelangsungan Perniagaan Koperasi anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Zon Sarawak, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais.

Di Malaysia pula, katanya, terdapat sebanyak 15,809 koperasi dengan jumlah keanggotaan sebanyak 7.2 juta orang serta perolehan sebanyak RM64.6 bilion sehingga Disember 2023.

Beliau berkata, mengikut kajian SME Corporation Malaysia pada 2023 dan 2024, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk koperasi berdepan pelbagai cabaran yang menghadkan pertumbuhan dan daya saing perniagaan.

“Antara cabaran tersebut adalah kos menjalankan perniagaan yang tinggi disebabkan kenaikan kos bahan mentah, upah pekerja dan sewa premis,” katanya.

Selain itu, tambahnya, ialah kurang penerapan kelestarian perniagaan, jalinan PMKS dengan firma besar yang rendah disebabkan kekurangan kapasiti dan kebolehupayaan untuk memenuhi standard firma besar dan ketinggalan dalam pendigitalan pengoperasian.