Jenazah LKpl Mohd Afandi selamat dikebumi di Kampung Jemoreng

MATU: Jenazah anggota komando yang lemas selepas dihanyut arus deras kepala air di Sungai Merah di Permatang di sempadan Malaysia–Thailand Sabtu lalu selamat dikebumikan di Kampung Jemoreng, di sini malam tadi (Selasa).

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan medianya memberitahu, Jenazah LKpl Mohd Afandi dibawa keluar dari lokasi operasi dengan pesawat udara pada 2 Disember, jam 12.41 tengah hari dan dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.

Solat Jenazah telah dilaksanakan di Surau Sallehuddin Al-Ayubi, 23 RAMD pada 3 Disember lalu, jam 2.15 petang seterusnya diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada jam 3.45 petang dengan pesawat C130 TUDM.

Jenazah sampai di Lapangan Terbang Sibu pada 6.25 petang seterusnya diterbangkan dengan pesawat EC725 TUDM ke Kampung Jemoreng.

Pegawai yang hadir di Lapangan Terbang Sibu ialah Panglima 9 Briged, Pegawai Memerintah dan Pemerintah bawah naungan 9 Briged.

Upacara pengebumian mangsa pada jam 8.30 malam tadi dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan turut dihadiri pegawai kanan dari Markas 21 Grup Gerak Khas (GGK) yang berpangkalan di Kem Sungai Udang, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, Sabtu lalu, dua mangsa bersama tujuh anggota lain dipercayai dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024.

Tujuh anggota ditemukan selamat pada 12.30 tengah hari pada hari kejadian, namun dua lagi dilaporkan hilang iaitu Mohd Afandi dan seorang anggota dari 22 Komando yang berpangkalan di Kem Iskandar, Mersing Johor iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmizi.

Jenazah Mohd Afandi ditemukan di tepi sungai kira-kira tiga kilometer (km) dari kedudukan Markas Trup, kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu.

Jenazah Mohd Afandi kemudian dibawa keluar dari lokasi operasi dengan pesawat udara pada Isnin dan dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.

GAMBAR:MINDEF/ATM