KUCHING: Aplikasi e-dompet Kerajaan Sarawak, S PAY GLOBAL, kini memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan DuitNow, hasil kerjasama dengan Payments Network Malaysia (PayNet).
Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng berkata, ciri terbaharu ini membolehkan pengguna S PAY GLOBAL mengimbas QR DuitNow yang digunakan oleh aplikasi e-dompet lain.
Selain itu katanya, aplikasi e-dompet lain juga dapat mengimbas QR S PAY GLOBAL yang digunakan oleh peniaga.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan meningkatkan ketersambungan dan kelancaran urus niaga, terutama bagi rakyat Sarawak yang kini dapat menikmati pengalaman pembayaran lebih mudah dan efektif.
“Setakat ini, S PAY GLOBAL mencatatkan transaksi pembayaran berjumlah RM4.3 bilion sejak dilancar 2017.
“Sejumlah 118 juta transaksi dilakukan melalui aplikasi ini, dengan lebih daripada 780,000 pengguna berdaftar dan 92,000 peniaga yang turut terlibat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
S PAY GLOBAL menjadi aplikasi pembayaran utama di Sarawak, terutama di luar bandar, bagi memudahkan rakyat membayar bil utiliti dan pelbagai urusan harian selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak (SDE) 2030.
Menurut Anderson, kerjasama dengan PayNet ini merupakan langkah positif dalam merealisasikan visi ekonomi digital Sarawak yang inklusif dan berdaya saing pada masa hadapan.