KUCHING: Belanda menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan kerjasama dengan Sarawak dalam bidang pengurusan dan teknologi air.
Duta Kerajaan Belanda ke Malaysia, Jacques Louis Werner berkata, negaranya mempunyai reputasi kukuh dalam kedua-dua bidang ini untuk membantu Sarawak menguruskan air wilayah ini dalam beberapa aspek.
Ujarnya, ini termasuk pencegahan banjir, mitigasi banjir, hakisan pantai, pemulihan tanah serta pembersihan air untuk kegunaan minuman dan pengairan.
“Saya telah menawarkan sokongan dan bantuan kami dalam bidang ini kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kerjasama ini akan melaksanakan beberapa rancangan yang telah disusun, termasuk untuk Sibu yang merupakan contoh utama dalam bidang teknologi air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Antara lain yang dibincang ialah isu global iaitu keterjaminan makanan dan pertanian yang mana menurut Jacques, Belanda dan Sarawak juga boleh bekerjasama dalam bidang ini.
Esok akan berlangsung majlis pelancaran projek pembangunan ‘metropolitan food cluster’ dan pelabur-pelabur Sarawak yang berani bekerjasama dengan sektor teknologi makanan dari Belanda untuk mewujudkan pengeluaran makanan baik dan mampan, katanya.