Amalkan budaya kerja inovasi, integriti

KUCHING: Inovasi dan integriti perlu menjadi tunjang utama perkhidmatan warga kerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, inovasi merupakan pendorong utama dalam memenuhi keperluan masyarakat secara lebih efisien dan berkesan.

”Sehubungan itu, saya sangat menyokong serta menggalakkan setiap warga kerja untuk terus berinovasi dalam pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Integriti dan Inovasi Serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (HIIS), di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, warga kerja DBKU juga perlu sentiasa memperkukuh budaya integriti dalam setiap tindakan bagi memastikan inovasi dilaksanakan bukan sahaja membawa kemajuan tetapi juga dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

”Dengan integriti, kita akan membina kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan dan ini adalah elemen penting dalam memperkasa DBKU sebagai institusi yang dihormati dan dipercayai,” ujarnya.

Turut hadir ialah Datuk Bandar DBKU, Datuk Hilmy Othman.