Kerajaan Sarawak belanja RM5.6 juta laksana projek pembangunan Parlimen Santubong

KUCHING: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM5,637,000 untuk pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Parlimen Santubong bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur, sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, ia meliputi dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), lima Projek Mesra Rakyat (PMR), tiga projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan satu projek kecil luar bandar (MRP).

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong, RM3,170,000 diperuntukkan bagi projek di bawah Jalan Perhubungan Desa melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merangkumi naik taraf JPD kampung Pinggan Jaya, JPD Kampung Buntal dan JPD Kampung Sungai Cina di Lundu.

“Sementara itu, RM967,000 pula dibelanjakan bagi PMR merangkumi Bina Baru Rumah Wanita di Kampung Temenggong (Pantai Damai), naik taraf Padang Bola Sepak Takraw di Kampung Beradek, Tanjong Embang (Demak Laut).

“Selain itu, naik taraf Dewan Kampung Jaya Bakti (Pantai Damai), naik taraf Padang Bola Sepak Takraw di Kampung Sejingkat dan Bina baharu penahan hakisan di Kampung Meriyu, Lundu (Tanjong Datu),” katanya ketika Malam Media Sarawak dan Sembang Santai di sini, malam tadi.

Katanya, bagi projek di bawah RTP, RM500,000 digunakan bagi naik taraf sistem perparitan di Kampung Tabuan Melayu (Demak Laut) dan naik taraf Dewan Kampung Gerunggang, Lundu (Tanjong Datu).

Menjelas lanjut, sebanyak RM1,000,000 pula diagihkan untuk pelaksanaan projek di bawah MRP yang meliputi Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin (PPRMS) bagi membaik ulih 60 rumah rakyat miskin.

“Sebagai tambahan, sebanyak RM69,100 diberikan kepada 258 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pada 2024 dan RM117,000 (313 pelajar) 2023,” jelasnya.