Sarawak anjur 238 acara sepanjang 2024

KUCHING: Sarawak dalam memastikan kekal sebagai pusat tarikan pelancong berjaya menganjurkan sebanyak 238 acara sepanjang tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hampir setiap minggu ada acara menarik berlangsung di Sarawak.

“Acara-acara ini meliputi pelbagai tema seperti muzik, budaya, sukan, dan makanan, menjadikan Sarawak hidup dan penuh daya tarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Front Row Live Series 2025, di sini, semalam.

Selain itu, Abdul Karim berkata Sarawak akan menjadi tuan rumah Front Row Live Series 2025 dengan pembukaan Boney M 50th Anniversary Tour Concert di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 4 Januari depan dan diteruskan dengan festival komedi di sini dan konsert muzik di Miri.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur, Zaid Zaini dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Desmond Douglas Jerukan.