Lawas bantu rancakkan aktiviti ekonomi negeri

LAWAS: Bergerak seiring dan menyokong penuh usaha murni Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membolehkan Sarawak mencapai kemajuan lebih pesat dan cepat.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa berkata, kemajuan pesat itu kelak akan manfaat rakyat.

Melalui pendekatan strategik iaitu penyediaan kemudahan asas seperti jaringan jalan raya, perhubungan udara dan laut merupakan usaha untuk membuka laluan kepada keperluan lain khususnya bekalan air bersih, bekalan elektrik dan lainnya secara menyeluruh ke serata Sarawak, katanya.

Rakyat Sarawak harus memberi sokongan padu kepada usaha murni Abang Johari dalam melengkapkan rangkaian perhubungan dan pembangunan tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui, katanya selepas mengadakan kunjungan Krismas ke kediaman Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong di Long Tuan di sini, semalam.

Jinal Abedin berkata, ini merupakan asas kepada kemajuan Sarawak dalam rangka mendapatkan hasil yang tinggi untuk memastikan seluruh rakyat Sarawak mendapat berbagai manfaat.

Beliau berkata, faktor keperluan tenaga dan penjanaan tenaga baharu juga merupakan nadi kepada penggerak pembangunan yang diperlukan wilayah Sarawak yang cukup luas.

Awangku Jinal Abedin juga berharap agar penduduk di Parlimen Lawas bergandingan dengan Kerajaan GPS khususnya kepimpinan Sarawak dalam menjadikan Lawas sebagai penyumbang kepada aktiviti ekonomi.

Peranan akar umbi penting dalam menstabilkan ekonomi berkaitan pelancongan, perusahaan kecil, pertanian, ternakan, perikanan dan lain-lain industri kecil yang menjadi penyokong kepada sektor ekonomi lebih besar.

Turut serta dalam kunjungan Krismas itu ialah ahli-ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari, Pergerakan Wanita, Sayap Pemuda dan Belianya.