KABONG: Gelanggang Futsal Sungai Pasir akan dinaik taraf bagi dapat diguna belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, naik taraf ini termasuk pemasangan lampu solar dan tandas awam.
“Fasiliti ini digunakan siang dan malam, sekali gus memberi peluang kepada belia untuk terus aktif dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah Pertandingan Futsal Tertutup N.40 Kabong anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.40 Kabong di gelanggang terbabit, di sini, semalam.
Pasukan Bersepai FC muncul juara pertandingan itu menewaskan Sessang Tigris X dengan jaringan 4-3 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat manakala Tigris X sebagai naib juara (RM1,000).
Pasukan CTT FT berjaya menewaskan Sungai Pasir Legacy dengan jaringan 4-1 bagi tempat ketiga (RM700) dan Sungai Pasir Legacy ditempat keempat (RM500).
Selain itu, anugerah pemain terbaik diterima Abang Ahmad Eizhan Abang Kasim dari Bersepai FC, penjaring terbanyak diterima Mohammad Iqmalrazzie Razaman (Bersepai FC) dan penjaga gol terbaik kepada Mohammad Shahrizzian Suhaili (Sessang Tigris X).
Turut hadir Penghulu Kamaludin Rambli; Penghulu Rahman @ Dom Kapok; Penghulu Wahab Samsu; Penghulu Bundan Belatok; Ketua Pergerakan Pemuda N.40 Kabong, Abdul Rahim Peli, Ketua Pergerakan Wanita N.40 Kabong, Nurain Abdullah dan Jawatankuasa Pemuda Parti PBB N.40 Kabong.
