Biro Kebajikan Wanita Cawangan Bukit Sari santuni warga emas, pesakit kronik

LAWAS: Biro Kebajikan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.82 Bukit Sari bersama Kelab Wanita Prihatin Lawas mengadakan Program Sentuhan Kasih, di sini, hari ini.

Program menyantuni warga emas dan pesakit kronik itu meliputi empat zon iaitu Zon bandar, Zon Jalan Punang, Zon Punang dan Zon Trusan.

Mereka diketuai Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Aujinajian Garip dan Pengerusi Kelab Wanita Prihatin Lawas Dayangku Norli Pengiran Tajuddin.

Dayangku Norli berkata, sejumlah 25 warga emas dan pesakit kronik menerima sumbangan semasa program itu.

“Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini,” katanya kepada media hari ini.