BINTULU: Status pembinaan bangunan gantian Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad di sini, kini mencapai kemajuan 92 peratus siap.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerja-kerja pembinaan sekarang memasuki fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun ini.
“Pembangunan sekolah baharu itu merupakan bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kemajuan projek itu di sini, hari ini.
Bintulu merupakan kawasan yang mengalami peningkatan populasi yang pesat. Oleh itu, keperluan untuk kemudahan pendidikan yang lebih baik adalah sangat mendesak,” katanya.
Sagah berkata, walaupun projek itu menghadapi cabaran seperti pemindahan kabel utiliti yang melambatkan proses pembinaannya, namun diyakini ia akan siap mengikut jadual.
Beliau turut memberi penekanan terhadap keselamatan bangunan terutama dalam aspek keselamatan kebakaran sebelum
pelajar mula berpindah pada Jun.
Apabila siap kelak, SK Orang Kaya Mohammad dijangka bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan terhadap sekolah-sekolah berhampiran, tetapi juga menawarkan kemudahan moden yang kondusif untuk pembelajaran dan sebagai simbol kemajuan pendidikan di Bintulu.
Pada masa ini, pelajar SK Orang Kaya Mohammad menumpang di SK Kampung Baru Bintulu sementara menunggu pemindahan ke sekolah baharu.
