KUCHING: Penjagaan kesihatan menggunakan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) kini diperlu bagi menangani cabaran populasi yang semakin menua termasuk di negeri ini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, teknologi AI dan peranti perubatan pintar bakal memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat khususnya warga emas menerima penjagaan yang lebih cekap dan peribadi.
“Sarawak akan menuju ke arah populasi menua yang mana 16 peratus penduduknya dijangka berusia 60 tahun ke atas tidak lama lagi.
“Penjagaan kesihatan untuk golongan ini memerlukan pendekatan yang lebih canggih.
Dengan teknologi seperti AI, data kesihatan peribadi boleh dianalisis untuk mengenalpasti punca penyakit dan memberikan penyelesaian yang tepat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan di sini, hari ini.
Katanya, peranti perubatan pintar bukan sahaja penting untuk mengumpul data kesihatan, malah membantu manusia berevolusi dengan menyepadukan teknologi ke dalam tubuh badan.
Teknologi seperti X-ray digital dan alat pengesan perubatan lain juga akan membuka jalan kepada penjagaan kesihatan yang lebih proaktif, sekali gus mengurangkan beban penjagaan di hospital tradisional, jelas beliau.
“Pusat ini bukan sekadar sebuah klinik digital, tetapi ibarat ‘workshop’ untuk memastikan warga emas menerima penjagaan terbaik dan berterusan.
“Dalam masa depan, manusia mungkin menjadi 50 peratus manusia dan 50 peratus mesin. Ini bukan lagi fiksyen tetapi kemungkinan yang sudah diterokai,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, UNIMAS dijangka memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi kesihatan ini, menjadikan Sarawak sebagai hab inovasi kesihatan digital di Malaysia.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit.