DARO: Pelbagai pendekatan diambil oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha memacu sektor pendidikan di negeri ini termasuk membangunkan prasarana sekolah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, salah satu projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasannya adalah pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Tebaang yang dijangka siap dalam masa terdekat.
Katanya, projek-projek infrastruktur pendidikan ini adalah hasil usaha berterusan Kerajaan Sarawak melalui wakil rakyat termasuk pembinaan Dewan Sri Shamara yang memberikan keselesaan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti di sekolah.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak juga turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu memperkasa bidang pendidikan termasuk memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak bermula 2026.
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid dan Graduasi SK Ulu Daro di Dewan Sri Shamara SK Ulu Daro hari ini.
Tegasnya, pendidikan adalah kunci utama dalam merubah kehidupan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi menggesa agar ibu bapa terus memberi perhatian serius terhadap pendidikan anak-anak mereka.
Ujarnya, kejayaan anak-anak di sekolah memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam menyokong perjalanan pendidikan mereka.
