KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negeri ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, JKR Sarawak banyak membantu menyelesaikan projek-projek sakit bagi memastikan seluruh negeri ini khususnya di luar bandar menerima pembangunan.
Ini dibuktikan apabila Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) berjaya menggunakan dana RM799.52 juta bagi pembangunan infrastruktur.
“Tanpa anda pada tahun 2024, kami tidak akan dapat membelanjakan sebanyak RM799.52 juta yang diperuntukkan kepada kami.
“Selepas semua kerja keras anda, kami berjaya membelanjakan 95.2 peratus daripada peruntukan kementerian untuk pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Perhimpunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.
Ke arah itu, Uggah menggesa agar JKR Sarawak terus cemerlang terutamanya bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini dalam menyelesaikan isu kerosakan infrastruktur khususnya jalan ekoran cuaca buruk.
Dalam majlis sama, Uggah selaku Menteri MIPD melancarkan Jadual Kadar Harga 2024 JKR Sarawak dan Reka Bentuk Jalan Konkrit bagi Garis Panduan Standard JKR R1.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Dato Majang Renggi, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yaw, Pengarah JKR Sarawak Ir Dr Cassidy Morris.