KUCHING: Laluan alternatif berhampiran Jambatan Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini akan dibuka selewat-lewatnya hujung bulan ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.
Beliau berkata, pembukaan laluan alternatif itu untuk memudahkan aliran keuar masuk penduduk di sepanjang Jalan Datuk Ajibah Abol.
“Buat masa ini, kita meminta kontraktor jambatan berkenaan untuk membuka jalan (di tepi) jambatan bagi laluan keluar dan masuk,” katanya selepas Program Pengagihan Sumbangan ‘Gong Xi Ga Chai’ 2025 kepada pelajar kurang berkemampuan di Dewan Sekolah Menengah Chung Hua No.4, di Jalan Haji Taha, sini.
Sehubungan itu, beliau berharap Jambatan Bintangor yang sedang rancak dibina dapat disiapkan sebelum sambutan Hari Raya tahun ini. Namun, ini bergantung dengan keadaan cuaca.
Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan, rancangan sedang dilakukan untuk memperbesarkan projek tebingan sungai Kuching bermula dari Kampung Bintangor di sini sehingga ke Jambatan Satok.
Bagi tujuan itu, katanya beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
“Kita akan mengadakan mesyuarat pada bulan depan untuk menyelaraskan tempoh pelaksanaan projek ini. Projek ini mungkin akan dimulakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan ang pau kepada 100 kanak-kanak kurang berkemampuan dari Sekolah Menengah Chung Hua No. 4 dan Sekolah Rendah Chung Hua No. 4.
Beliau turut mengumumkan bahawa setiap sekolah rendah dan menengah itu menerima peruntukan masing-masing berjumlah RM25,000.
Hadir sama, Datuk Bandar Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, Presiden Lembaga Pengurusan Sekolah Chung Hua, Dato Richard Wee Liang Chiat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samad Gany dan Pengerusi SUPP Cawangan Satok.