KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju menaikkan kadar bantuan bencana yang diagih melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana alam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan itu diberi sebagai sokongan kewangan bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian dan memenuhi keperluan asas bagi mempercepatkan proses pemulihan pasca banjir.
Langkah itu juga menunjukkan kesungguhan kerajaan
dalam memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat melalui tindakan proaktif dan berkesan yang menyumbang kepada kelestarian sosial dan ekonomi, katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2025 Bahagian Kuching di sini, hari ini.
Fatimah berkata, bagi bantuan bekalan makanan peringkat awal sekali bayar (kecuali mangsa bencana kemarau) diselaraskan pada kadar RM75 untuk satu pek bagi bilangan isi rumah seorang hingga lima orang.
Manakala, bantuan segera secara sekali bayar yang merangkumi wang saku pada kadar RM100 dinaik kepada RM200 seorang dan pakaian harian RM300, makanan kering RM100 seorang dan kelengkapan tidur RM200 seorang, katanya.
Beliau berkata, untuk bantuan persekolahan juga secara sekali bayar ialah pakaian sekolah RM300 seorang dan peralatan sekolah RM200 seorang.
Bantuan peralatan dapur mendapat kenaikan kadar bayaran tertinggi iaitu daripada RM700 kepada RM1,000 bagi sebuah rumah, tegas beliau.
Untuk bantuan perlindungan secara sekali bayar yang melibatkan pembelian bahan binaan kediaman sementara atau sewaan rumah pada kadar maksimum RM5,000 dinaik kepada RM10,000 bagi sebuah rumah, katanya.
Fatimah menegaskan, pemberian kadar bantuan tertakluk kepada peratus kerosakan, dengan bantuan minimum sebanyak RM1,000; RM2,500 untuk 25% kerosakan; RM5,000 untuk 50% kerosakan; RM7,500 untuk 75% kerosakan; dan RM10,000 untuk 100% musnah.
Bantuan Makanan Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada disedia secara makanan
bungkus atau catuan makanan untuk dimasak disediakan pada kadar RM25 dinaik kepada kadar baharu RM50 seorang sehari, katanya.
Beliau berkata, kadar baharu RM100 untuk satu pek
seorang untuk tempoh seminggu disedia bagi bantuan kepada mangsa yang terputus hubungan (makanan kering) untuk mangsa kebakaran, ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana kecuali kemarau.
