Sarawak tarik pelaburan bernilai RM11.3 bilion

DUBAI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini giat menggalakkan dasar penyelesaian karbon rendah, ekonomi hijau dan sekular.

Beliau berkata, selain itu, Sarawak berhasrat menjadi pemimpin wilayah dalam inovasi dan ekonomi berasaskan teknologi tinggi sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 yang mewujudkan kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.

Susulan mendapat pengiktirafan atas komitmen Kerajaan Sarawak melaksana dasar pembangunan mampan, Sarawak akan berusaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti untuk membangunkan negeri ini, katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara InvestSarawak Sdn Bhd dan Surbana Jurong Pte Ltd. di sini.

Pemeterian MoU itu susuluan kejayaan Surbana Jurong membantu Kerajaan Sarawak menyusun Pelan Induk untuk Pembangunan Terminal Perindustrian di Sarawak.

Abang Johari menegaskan, pelan induk itu telah mengenal pasti cabaran dan peluang bagi landskap perindustrian di Sarawak seperti peluang tenaga hijau, meningkat dan melengkapkan penduduk Sarawak dengan kemahiran.

Di samping itu, ia juga membuka peluang baharu, melaksanakan transisi tenaga dan projek nyahkarbon disepadukan dengan aktiviti perindustrian medanhijau dan medanungu, katanya.

Dengan mengambil kira perubahan iklim mendadak yang menjejaskan alam sekitar dan hidup manusia, beliau berkata, Sarawak bersikap proaktif dalam memastikan segala pembangunan dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan mampan.

Hakikatnya idea melaksanakan Matlamat Pembangunan Sosial dan Alam Sekitar, Sosial dan Pentadbiran terkandung dalam PCDS 2030 yang dijadikan sebahagian daripada matlamat pembangunan Sarawak, tegas beliau.

Sarawak kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan popular dan sejak beberapa tahun lalu muncul sebagai paling mampan di Malaysia dan rantau ini, tegas beliau.

Setakat September 2023, beliau berkata, Kerajaan Sarawak meluluskan RM11.3 bilion nilai pelaburan dalam sektor pengilangan.

Justeru, tambahnya, Sarawak mengalu-alukan pelaburan dan kolaborasi terutama dalam enam sektor utama iaitu pengilangan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan untuk kepentingan bersama.

Komitmen Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pembangunan mampan mendapat perhatian di dunia dengan agensi penarafan antarabangsa Standard and Poor and Moody Investor Service yang mengiktiraf strategi Sarawak untuk menarik pelaburan berkualiti.

Hadir sama Menteri Kanan dan Menteri Penyalarasan dan Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Duta Besar Malaysia di Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.