KUCHING: Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) mencerminkan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melalui inisiatif murni ini, sebanyak RM460 juta diperuntukkan di bawah program SKAS yang memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 penerima.
Katanya, langkah ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat malah mencerminkan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas keprihatinan dan komitmen beliau dalam membantu rakyat Sarawak,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2025.
Wan Junaidi berkata, keprihatinan ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah perlu ditingkatkan dengan mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
Selain itu, beliau mencadangkan agar masyarakat Bumiputera memperkukuhkan kerjasama dengan masyarakat Cina, dengan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki kedua-dua komuniti dalam bidang ekonomi, keusahawanan, sukan dan pelbagai sektor lain.
“Melalui kerjasama ini, peluang untuk pertukaran pengetahuan dan kemahiran dapat meningkatkan potensi dan daya saing masyarakat Bumiputera,” tambahnya.
Katanya, ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan bersama yang lebih inklusif dan progresif serta mengeratkan lagi perhubungan dengan masyarakat Cina.
Menurutnya, pada masa sama, usaha untuk menggalakkan masyarakat Cina agar menyertai integrasi merentas kaum hendaklah diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan berkesan, bukan sekadar wacana di peringkat teori.
“Saya yakin bahawa dengan mengutamakan prinsip meritokrasi dan perpaduan, kita dapat merealisasikan pembangunan negeri yang holistik, adil, dan inklusif,” katanya.
Di samping itu, Tun Wan Junaidi berkata dalam aspek pendidikan, anak-anak Sarawak Cina atau Bumiputera wajar berganding bahu untuk menguasai Matematik,
Bahasa Inggeris, serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Menurutnya, kejayaan kaum Cina dalam bidang ini menjadi inspirasi kerana terbukti berkesan melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi.
“Langkah ini amat penting untuk memastikan anak-anak Sarawak bersedia memenuhi keperluan masa hadapan, terutamanya dalam sektor strategik yang semakin dipacu oleh kemajuan teknologi,” tambahnya.
