KUCHING: Pelbagai inisiatif dirangka Kerajaan Sarawak untuk membantu pesakit buah pinggang agar golongan ini dapat menjalani kehidupan lebih bermaruah dan berkualiti.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan yang disediakan tidak hanya terhad kepada rawatan dialisis semata-mata, tetapi turut merangkumi sokongan perjalanan, pemasangan AVF serta pengagihan mesin dialisis baharu.
“Bantuan perjalanan sebanyak RM50 disediakan untuk setiap dialisis bagi pesakit yang tinggal jauh, membuktikan betapa seriusnya usaha kami untuk meringankan beban kos tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Maadicare Dialysis Charity Centre, Kuching di sini, hari ini.
Dedah beliau, sejak 1 Januari 2020 hingga 30 April 2024, sebanyak 590 permohonan diluluskan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM9,928,744.75.
Bagi 2025, sebanyak 205 permohonan lanjutan diluluskan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM4.7 juta, katanya lagi.
“Statistik ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri yang teguh dalam membela nasib pesakit buah pinggang,” tambah beliau sambil menzahirkan keprihatinannya terhadap cabaran kos tinggi yang terpaksa ditanggung pesakit.
Jelasnya, kos rawatan dialisis di pusat badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta mencecah antara RM120 hingga RM200 bagi satu sesi, dengan sekurang-kurangnya tiga sesi diperlukan setiap minggu.
“Tanpa bantuan kerajaan, pesakit dari golongan B40 dan M40 rendah mungkin kehilangan harapan. Kos seperti pemasangan AVF yang mencecah RM3,000 merupakan beban bagi mereka. Namun, rawatan ini amat penting dan tidak boleh diabaikan,” tegas Fatimah.
