KUCHING: Kepelbagaian warisan budaya dan keharmonian kaum menjadi pemacu kemajuan negeri ini sekali gus mercu tanda perpaduan dan pembangunan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kestabilan politik turut menjadi asas yang memangkin arus pembangunan di negeri ini.
“Kekuatan Sarawak terletak pada warisan budaya kita dan keharmonian kaum yang berkekalan hingga ke hari ini.
“Kualiti unik ini yang disokong kestabilan politik dan bakat rakyat telah membolehkan Sarawak berkembang maju sebagai mercu tanda perpaduan dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2025, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap tahun ini akan membawa keberkatan, kesihatan, kekayaan dan kebahagiaan yang melimpah kepada semua orang.
“Tahun Baharu adalah masa untuk kita merenung kenangan dan pencapaian pada tahun lalu serta meletakkan sasaran kita untuk masa depan yang lebih cerah.
“Marilah menghayati kebijaksanaan ular dan maju bersama dengan keberanian dan penuh keazaman,” tambahnya.
