KUCHING: Seramai 166 pengusaha premis makanan di kawasan seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) masih belum mendaftarkan lesen premis makanan setakat ini.
Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman berkata, tindakan tegas akan dikenakan jika mereka tidak memohon sehingga Mac 2024.
‘’Kita perlu meneliti perkara ini secara baik dengan bersama-sama pengusaha premis makanan, mungkin mereka mempunyai alasan sendiri untuk tidak memohon,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Hari Tandas Sedunia di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah Hilmy lagi, seramai 386 daripada 552 pemilik premis telah memiliki lesen.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik premis terbabit mendapatkan lesen supaya dapat mematuhi syarat-syarat ditetapkan dalam undang-undang berkaitan demi kepentingan orang ramai dan pemilik premis.
“Sekiranya pemilik premis makanan mempunyai lesen tersebut, ia akan memudahkan KKM untuk memantau di premis-premis mereka sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang seperti pelanggan merokok di dalam premis.
“Dalam tempoh tiga hari hingga seminggu, permit diluluskan, jadi tidak sukar untuk memohonnya.
“Mereka hanya perlu datang ke pejabat DBKU, mengemukakan dokumen lengkap mereka, membayar yuran lesen,” katanya.