Banjir: Majang Renggi zahirkan terima kasih kepada semua petugas

BINTULU: Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi turun padang menyantuni penduduk terjejas banjir di sini, hari ini.

Walaupun berada di Kuching untuk tugas rasmi, beliau segera kembali ke Bintulu melalui jalan darat dan tiba sekitar 11.00 malam semalam.

“Kita bersama pasukan telah turun ke lokasi bagi meninjau keadaan banjir dan turut ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

“Sebelum turun ke lokasi bencana telah diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bintulu,” katanya yang juga ADUN Samalaju.

Lawatan pertamanya pagi ini ialah ke Kidurong Avenue Park di Jalan Pesisir Bintulu-Samalaju diikuti meninjau keadaan di PPS Pusat Sukan BDA Kidurong.

“Selepas itu, kita bergegas ke Pejabat Residen Bintulu bagi menghadiri Taklimat Khas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Fadillah Yusof behubung banjir di bahagian ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ADUN Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.

Selesai taklimat beliau telah begerak ke PPS Dewan Suarah Bintulu.

“Selepas itu, ke lokasi di PPS SMK Asyakirin, Sungai Plan bagi meninjau keadaan semasa.

“Kita terharu dan berterima kasih kepada seluruh petugas, agensi kerajaan dan swasta mahupun secara individu yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memberikan khidmat ketika ini.

“Kita harap mangsa banjir tabah dalam menghadapi dugaan dan tingkatkan keselamatan diri serta keluarga. Patuti arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bintulu yang sama berjuang dan menghulur bantuan,” kata beliau.