SERIAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diminta agar berjaga-jaga serta pantas memulihkan jalan-jalan terputus akibat banjir demi keselamatan penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, sebanyak 148 jalan raya di seluruh Sarawak terkesan ekoran banjir besar yang melanda wilayah ini sejak lima hari lalu.
Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 75 jalan raya mengalami hakisan, tiga mengalami kerosakan pembentung serta empat kerosakan di Lebuh raya Pan Borneo (LPB) termasuk yang berlaku di Ranchan di sini.
“Kita memohon agar pegawai JKR dapat menentukan jalan-jalan terputus untuk dipulihkan secepat mungkin,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah dan PPS Dewan Masyarakat Serian di sini, hari ini.
Uggah turut memuji tindakan pantas JKR Sarawak yang berjaya memulihkan Jalan Temalat di Sibu dalam tempoh enam jam sahaja, sekali gus membolehkan laluan itu digunakan semula.
Lawatan Pengerusi JPBNS itu ke dua PPS hari ini mendapati bilangan isi rumah yang dipindahkan ke PPS SK Tanah Merah yang direkodkan sebanyak 75 isi rumah melibatkan 251 mangsa.
Sementara itu, bilangan isi rumah yang dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Serian meningkat kepada 64 keluarga membabitkan seramai 218 mangsa.
Terdahulu di PPS SK Tanah merah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang turut mengiringi lawatan Datuk Amar Douglas Uggah.
Manakala, lawatan beliau di PPS Dewan Masyarakat Serian turut disertai oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Datuk Martin Ben, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus serta ketua-ketua jabatan.