PETROS teruskan misi agih bantuan

SEBAUH: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) meneruskan komitmen membantu mangsa banjir dengan menyalurkan bantuan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini.

Sumbangan berupa 10 tong gas dan dua unit dapur gas disampaikan oleh Wakil PETROS, Tabita Tanjong kepada wakil Pegawai Daerah Sebuah, Frances Sherri Lia Jilan di Pejabat Daerah Sebauh, hari ini.

Menurut Frances Sherri, sumbangan tersebut untuk dua PPS masing-masing di PPS Balai Raya Sebauh dan PPS SMK Sebauh.

“Namun demikian, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Sebauh merangkap Pegawai Daerah Sebauh telah mengeluarkan notis rasmi bagi penutupan rasmi PPS SMK Sebauh.

“Sehubungan itu, kesemua sumbangan tersebut akan digunakan di PPS Balai Raya Sebauh bagi sekretariat menyediakan makanan kepada semua mangsa,” tambah Frances Sherri.

Untuk rekod, PPS Balai Raya Sebauh diaktifkan pada 29 Januari 2025 dan didiami 33 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 98 mangsa manakala PPS SMK Sebauh diaktifkan 3 Februari lalu didiami lima KIR melibatkan 19 mangsa.