Wanita perlu jalani saringan kesihatan berkala – Rodiyah

SIMUNJAN: Program kesedaran dan saringan kanser penting bagi golongan wanita kerana mereka sering terdedah risiko penyakit itu.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, berikutan itu mereka perlu mempunyai akses kepada maklumat dan dapat menjalani saringan kesihatan berkala mengesan penyakit terbabit peringkat awal.

“Saya menggalakkan para suami memberi sokongan kepada isteri, ibu dan ahli keluarga wanita untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Kesedaran dan Saringan Kanser serta Kempen ‘War On Sugar’ sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Simunjan 2025, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pegawai Epidemiologi), Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr. Natazcza Abdul Rahim, Pegawai Kesihatan Daerah Simunjan, Dr. Nur Azimah Azman dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Simunjan Bandar Sapian Dubli.