Program Salam Desa 2025 platform kerajaan dekati rakyat

ASAJAYA: Program Salam Desa 2025 merupakan usaha kerajaan memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, program juga menjadi platform kerajaan mendekati rakyat dan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Program Salam Desa bukan sekadar program turun padang, tetapi ia platform kita mendengar suara rakyat, menyampaikan bantuan serta merangka penyelesaian bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat desa,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Salam Desa di Dewan Sri Payong, Kampung Endap, Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Rubiah berkata, program itu turut menyaksikan penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA sebanyal RM100 secara one-off kepada 80 pelajar dari SMK Agama Matang, Sekolah Pendidikan Khas Kota Samarahan, SK Kampung Endap dan SMK Siburan.

Selain bantuan pendidikan, program itu turut menyaksikan penyampaian Surat Tawaran Skim Pembiayaan Ekspres (SPIKE) MARA, Bantuan Tuisyen Rakyat RISDA.