PSSS mobile beri kaunseling di Sarawak

LUNDU: Orang ramai yang memerlukan kaunseling disaran mendapatkan khidmat itu dari Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, PSSS adalah tempat mereka mengadu dan meluahkan masalah dan akan didengari oleh kaunselor yang profesional dan berdaftar.

“Kadang-kadang bila kita tertekan, kita tidak tahu mana untuk mengadu, oleh itu inisiatif PSSS ini salah satu langkah untuk memastikan komuniti kita mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan dan sokongan tanpa stigma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Kasih: PSSS dan Sumbangan Back to School 2025 kepada 220 murid sekolah dari sekitar Lundu di Auditorium SALCRA Bajo Training Centre di sini, hari ini.

Nancy berkata, PSSS menjalankan kaunseling untuk individu dan keluarga serta sesi advokasi dan program kesedaran kesejahteraan mental.

Katanya, PSSS juga ada secara mobile untuk mempermudahkan sampai kepada komuniti di seluruh
Sarawak dan negara.