Chong hanya minat ‘main politik’ dari perjuang hak Sarawak isu Petronas-Petros

KUCHING: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman membidas kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang mendakwa Sarawak telah menyerahkan hak minyak dan gas kepada Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan Chong itu susulan jawapan parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kepada soalannya di Parlimen, yang menunjukkan Sarawak telah mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Menurut Fazzrudin, beliau terkejut kerana Chong tidak meminta penjelasan daripada menteri masing-masing sebaliknya memilih untuk menyalahkan Kerajaan Sarawak.

“Mengapa beliau berdiam diri ketika itu dan mudah berpuas hati dengan maklum balas daripada menteri? Adakah kerana dia tidak mahu memperjuangkan hak Sarawak?

“Beliau kemudian hanya menjerit mengenainya apabila pulang ke Kuching dan bukannya membangkitkan isu itu di Parlimen di sana.

“Dia boleh meminta penjelasan daripada menteri atau dia boleh mendapatkan Setiausaha Agung partinya untuk bertanya bagi pihaknya dalam kabinet. Mengapa dia tidak melakukannya?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengenai jawapan Azalina, beliau tertanya-tanya adakah Ahli Parlimen Stampin itu hadir semasa pertemuan antara Perdana Menteri dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg?

Tegas Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, kedudukan Sarawak telah jelas selama ini bahawa PDA 1974 dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 mesti wujud bersama untuk memastikan hak Sarawak dilindungi.

Katanya lagi, Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ahli parlimen Sarawak komited untuk memperjuangkan hak wilayah ini, namun melihat Chong dan DAP lebih berminat untuk ‘bermain politik’ daripada menangani isu itu.

“Saya menggesa Chong untuk tidak melompat hanya untuk mencari populariti. Jika populariti yang dimahukannya, saya pasti rakyat Sarawak akan menghargai ahli parlimen mereka untuk memperjuangkan hak Sarawak daripada hanya menjerit mengenainya,” jelas beliau lagi.

Tambah Fazzrudin, persidangan Parlimen masih berjalan dan beliau yakin Ahli Parlimen GPS akan mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan mengenai jawapan beliau semasa ucapan penggulungan nanti.