KUCHING: United Kingdom (UK) berhasrat memperkukuhkan hubungan dua hala bersama Malaysia khususnya Sarawak dalam bidang ekonomi dan perdagangan.
Ini dinyatakan Speaker Dewan Rakyat, Parlimen United Kingdom Sir Lindsay Hoyle sambil yakin bahawa kedua-dua negara mempunyai potensi untuk memperluaskan kerjasama strategik.
“Kami mahu membincangkan bagaimana kita boleh memperkukuh kerjasama perniagaan dan perdagangan pada masa hadapan,” ulasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak.
Ia merupakan lawatan pertama Lindsay ke Sarawak.
Jelasnya, beliau kagum dengan keindahan negeri ini serta semangat rakyatnya, dan melihat banyak ruang untuk kedua-dua negara bekerja bersama demi manfaat bersama.
