SNCC pastikan golongan istimewa tidak tersisih

KUCHING: Pembinaan Special Needs Community Centre (SNCC) di Pusat Pemulihan Samarahan akan memastikan golongan istimewa di negeri ini tidak tersisih dari masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat ini akan menyediakan perkhidmatan dan sokongan kepada pelbagai lapisan umur berkonsepkan ‘from cradle to grave’.

Katanya, pembinaan pusat tersebut dianggarkan berharga RM55.7 juta.

SNCC jelas beliau adalah inisiatif kerajaan negeri melalui kementeriannya melindungi hak anak-anak golongan istimewa dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, sukan, bakat dan seni.

“Saya gembira kerana kerajaan negeri telah membantu anak-anak golongan istimewa. Sebahagian daripada anak-anak istimewa yang telah menamatkan pengajian di universiti kini diberi peluang untuk bekerja dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui media pada program Autism Art Exhibition 2025 di sebuah pusat beli belah hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah memberitahu penerimaan ibu bapa terhadap anak-anak autisme semakin meningkat.

“Setakat ini, jumlah kanak-kanak autisme yang berdaftar di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) meningkat daripada 100 kepada 400 orang.

“Ini menunjukkan kesedaran ibu bapa, terutama golongan muda semakin baik,” katanya.

Tambahnya, stigma masyarakat terhadap anak-anak autisme semakin berkurang, berbanding sebelum ini ada ibu bapa yang enggan menghantar anak mereka ke pusat khusus kerana rasa malu.