SMK Saribas baharu bakal jadi pilihan ibu bapa, ruang kondusif disedia

DEBAK: Bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas di sini yang berharga RM12 juta akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohd. Razi Sitam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, bangunan baharu itu akan menjadi pilihan utama ibu bapa yang ingin memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.

Projek pembinaan bangunan baharu SMK Saribas ini bakal memberi ruang yang lebih baik dan kondusif kepada pelajar dan tenaga pengajar, katanya selepas meninjau perkembangan projek itu di sini.

Beliau berkata, bangunan baharu yang lebih moden ini diharap dapat menjadi tempat yang lebih kondusif bagi guru dan pelajar untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

“Sebagai wakil rakyat, saya berasa bertanggungjawab untuk memastikan pendidikan di kawasan Saribas terus berkembang,” katanya.

Bercerita lanjut, Razi berkata, pada 2013, beliau telah mengemukakan permohonan untuk pembinaan bangunan baharu bagi SMK Saribas.

Usaha itu adalah sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan Saribas dan memberikan kemudahan terbaik kepada pelajar di kawasan tersebut, tambahnya.

“Kini, setelah hampir lebih sedekad, permohonan tersebut berjaya mendapat peruntukan berjumlah keseluruhan RM12 juta dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.