Tenaga diperbaharui: PETRA sedia bekerjasama

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sentiasa merangkumkan aspirasi serta inisiatif peralihan tenaga yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri.

Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA berkata, Kerajaan Pusat juga bersedia bekerjasama dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan berhubung pelaksanaan pembangunan tenaga diperbaharui dengan agensi kawal selia dan pemegang taruh di peringkat Negeri Sarawak.

PETRA akan melaksanakan empat langkah strategik bagi merealisasikan sasaran mencapai 40 peratus penggunaan tenaga diperbaharui menjelang 2035, katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Fadillah memberitahu, pertama pembangunan loji janakuasa solar berskala besar melalui Program Solar Berskala Besar (LSS), dan menggalakkan pemasangan sistem solar di bumbung bangunan melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Solar for Self-consumption (SelCo).

Langkah strategik seterusnya, katanya, ialah pembangunan loji jana kuasa tenaga diperbaharui yang dibiayai secara langsung oleh pengguna elektrik hijau melalui Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS).

Menurut Fadillah, langkah strategik yang lain ialah pembangunan projek penjanaan sumber bukan solar melalui Program Feed-in Tariff (FiT) dan Low Carbon Energy Generation Programme.

Kerajaan Pusat, tambahnya, turut menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak dalam mencapai matlamat peralihan tenaga sektor bekalan elektrik yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri.

Ia seperti meningkatkan lagi kapasiti tenaga diperbaharui kepada 15 Gigawatt (GW) menjelang 2035 dan menjadi hab pengeluaran hidrogen di rantau ini.

Rodiyah dalam soalan lisannya bertanya, apakah langkah strategik yang telah diambil oleh PETRA bagi merealisasikan sasaran mencapai 40 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.

Apakah komitmen Kerajaan Pusat bagi menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak dalam mencapai matlamat menjadi hab tenaga boleh diperbaharui utama di Asia Tenggara.