KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak mengalu-alukan penganjuran konsert yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak termasuk luar negara.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi contoh penganjuran konsert band dari Indonesia, Nidji di Sarawak akan menarik peminat bukan sahaja dari negeri ini, malah Semenanjung, Sabah, Brunei dan Indonesia.
Justeru, beliau memberi jaminan kementeriannya bersedia menyediakan kemudahan bagi penganjuran konsert dalam usahanya memperkasakan seni persembahan di negeri ini.
Malah MTCP katanya, bersedia membantu penganjur acara dari segi kewangan dalam menjayakan aktiviti mereka yang dilihat mampu membangunkan bakat dalam kalangan anak negeri ini.
“Misalnya bagi konsert Nidji: Pelangi di Kuching, kementerian membantu dari segi menyediakan kemudahan seperti Stadium Perpaduan.
“Selain konsert Nidji, Sarawak juga mempunyai pelbagai acara muzikal sepanjang tahun termasuk Festival Jazz Kuching, Festival Muzik Borneo Sonic, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF),” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Konsert Nidji: Pelangi di Kuching 2025 di sini hari ini.
Mengenai pengurusan dan kawalan penjualan tiket, beliau berkata perkara tersebut akan diuruskan syarikat penganjur acara konsert tersebut.
