KUCHING: Sebanyak RM100 bantuan akan disalurkan kepada semua kanak-kanak yang mendaftar di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) mulai tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak itu akan meliputi semua golongan.
“Ia bagi membantu ibu bapa membiayai keperluan awal anak-anak semasa mendaftar ke Tadika dan Taska,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Jagaan Kanak-Kanak di Tempat Kerja (TTK) baharu di Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Majlis dirasmikan isteri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Sementara itu kata Fatimah, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk melaksanakan inisiatif Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 setahun.
Beliau berkata, ia bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa berpendapatan isi rumah RM7,000 ke bawah,
“Inisiatif bermula pada 2023 bagi membantu kanak-kanak yang tercicir daripada menerima Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Bantuan Yuran Tadika yang disediakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.