KABONG: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong diharap dapat disiapkan mengikut jadual pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, sebanyak enam projek yang bakal dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan permintaan daripada penduduk kampung. Ia melibatkan kos berjumlah RM1.36 juta.
“Saya berharap agar setiap projek yang telah diluluskan ini dapat disiap mengikut jadual yang telah ditetapkan agar rakyat dapat merasai nikmat pembangunan,” katanya.
Chee Kadir berkata, projek terbabit ialah bina baharu Surau Kampung Sungai Endot, Kabong berjumlah RM460,000, naik taraf Surau SK To Eman, Nyabor (RM300,000) dan naik taraf bangunan Pusat Latihan Klinik Kesihatan Kabong Fasa 1 (RM200,000).
Selain itu, bina baharu dua gelanggang sepak takraw Kampung Hilir Sungai Pala, Kabong (RM200,000), naik taraf jeti Rumah Chaong Tinggir, Ulu Roban (RM100,000) dan naik taraf bilik pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir, Roban (RM100,000).