KABONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 bagi membina Pejabat Operasi Urus Setia Saudara Kita (USK) di Kampung Nyabor di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, ini bagi memastikan kebajikan saudara baharu di sini terus dibela.
“Justeru, tidak timbul soal saudara kita dipinggirkan atau tertinggal daripada menerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Iftar Perdana anjuran USK Cawangan Nyabor dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid To Amal Nyabor, di sini, hari ini.
Chee Kadir juga berharap Pejabat Operasi USK di Kampung Nyabor memanfaat kepada golongan saudara baharu dalam merancang pelbagai program dan aktiviti.
