KUCHING: Perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak terserlah menerusi Program Juh Berambeh Sungkei 2025 di Padang Merdeka hari ini, menyaksikan penglibatan lebih 5,000 warga bandar raya dari pelbagai latar belakang.
Program tahunan anjuran Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ia turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) serta Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Abdul Karim dalam ucapannya menekankan kepentingan meraikan kepelbagaian dan kekuatan komuniti di Sarawak yang bersatu padu tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
“Kita datang daripada pelbagai kaum dan agama, tetapi kita tetap meraikan acara ini bersama. Ini adalah keunikan yang kita miliki dan saya berharap program seperti ini terus mengukuhkan perpaduan rakyat,” katanya.
Ujarnya, program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi simbol keakraban dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat Sarawak.
