KUCHING: Seramai 45 asnaf di kawasan Satok menerima bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan di Dewan Anak Seni Kampung Bandarsah, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki mengagihkan bantuan itu dengan seramai 15 asnaf terbabit dari Kampung Bintangor manakala yang lain dari Kampung Muda Hashim A dan B.
Ibrahim berkata, program Ramadan setiap tahun itu bermula sejak beliau menjadi Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok.
“Sudah 37 tahun, dan kita terus menganjurkannya tanpa gagal,” katanya.
Selepas program itu, Ibrahim turut melawat Masjid Al-Hakim Kampung Muda Hashim bagi merasmikan program pengagihan bubur lambuk diikuti program sama di Surau Darul Qarar, Jalan Patingan, Satok.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Satok, Abdul Samat Gany Setiausaha Cawangan yang juga Pengerusi Biro Agama, Sarbini Abang dan Pemanca Rosli Sahari.
