SEBUYAU: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai platform menyediakan akses kepada maklumat terkini, latihan teknologi digital serta pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, NADI boleh menjadi pusat pembelajaran dan interaksi yang membantu masyarakat mendepani cabaran era digital selain tempat untuk mendapatkan maklumat.
Justeru, beliau menggalakkan penduduk, khususnya belia dan usahawan untuk memanfaatkan kemudahan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial.
“Pusat NADI bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat, tetapi pusat pembelajaran dan interaksi yang boleh membantu masyarakat mendepani cabaran era digital,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata demikian semasa merasmikan Digital NADI Kampung Sampat Sebangan di sini, hari ini.
Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer, internet berkelajuan tinggi, serta ruang untuk sesi latihan dan bengkel menyediakan akses digital secara luas kepada penduduk setempat.
Antara program yang dirancang di situ termasuk kursus literasi digital, keusahawanan dalam talian dan ceramah kesedaran sosial.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Syed Mohd Fauzi Shahab, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority Dato Dr.Anderson Tiong Ing Heng, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Sarawak Adiman Ajem, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang dan Pengurus NADI Kampung Sampat Sebangan Nur Azwa Izzatty Salleh.
