KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama kepimpinan negeri menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Kompleks Islam Sarawak hari ini.
Majlis penuh keberkatan itu dimulakan dengan bacaan doa Dhuha, diikuti dengan bacaan Surah Al-Kauthar oleh Premier Sarawak sendiri, sebelum diteruskan dengan khatamal Al-Quran.
Kehadiran barisan kepimpinan negeri yang turut sama mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran mengangkat lagi nilai kebersamaan dalam menghayati nilai-nilai Islam serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Majlis ini bukan sahaja melambangkan komitmen kepimpinan negeri dalam mendukung nilai-nilai Islam, tetapi juga menjadi wadah memperkukuh ukhuwah serta kesepaduan dalam pentadbiran Sarawak.
Turut hadir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Selain itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel hadir sama.
Terdahulu, Premier Sarawak menyampaikan sumbangan Ramadan daripada Majlis Islam Sarawak kepada Pelajar Kelas Saudara Kita yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak.