Pusat Perubatan Normah semarakkan Ramadan

KUCHING: Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan di perkarangan Pusat Perubatan Normah (NMSC) sebagai tanda keprihatinan dan perpaduan sepanjang Ramadan 1446H.

Program dirasmikan isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bersama Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) NMSC untuk menyemai semangat kemasyarakatan dan menyantuni komuniti, khususnya golongan yang memerlukan serta petugas barisan hadapan.

NMSC baru-baru ini diiktiraf sebagai Hospital Terbaik Malaysia 2025 oleh Newsweek, membuktikan komitmennya bukan sahaja dalam kecemerlangan perubatan tetapi juga khidmat masyarakat.

Sebagai sebuah hospital bertaraf dunia, NMSC bukan sahaja mengutamakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi tetapi turut memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada masyarakat.

Bubur lambuk yang disediakan menggunakan resipi tradisional ini mendapat sokongan daripada kakitangan NMSC dan ahli Kelab Rekreasi Normah, mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kekeluargaan.